Khamis, 6 Mei 2010

NILAI HADIAH SAYEMBARA PUISI TUN ABDUL RAZAK PATUT DITINGKATKAN

Assalamualaikum wrb!

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang telah berjaya menganjurkan Sayembara Menulis Puisi Tun Abdul Razak. Keputusan sayembara ini telah pun diumumkan baru-baru ini dan telah menjadi pengetahuan orang ramai. Setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada para pemenang bagi semua kategori sayembara tersebut baik kategori dewasa, IPT mahupun kategori pelajar. Antara pemenangtersebut termasuklah penyair mapan (handalan) seperti Shamsuddin Othman, dan juga penyair-penyair muda yang cukup berbakat seperti WB Rendra dan Zulfazlan Jumrah. Kebetulan ketiga-tiga penyair ini merupakan anak jati Johor. Saya sebagai pemastautin negeri "Hujung Tanah" ini, turut berasa bangga.
Penganjuran sayembara ini amatlah dialu-alukan dan diharapkan dapat diterusikan pada masa-masa yang akan datang. Mudah-mudahan penganjuran sayembara sempena mengenang ketokohan, kebijaksanaan dan jasa mantan Perdana Menteri kita itu yang amat besar kepeda negara tercinta ini akan dapat menguak jendela renungan dan minda sekalian warganegara termasuk generasi baharu.
Walau bagaimanapun, saya ada secubit pandangan yang menagih pandangan pihak-pihak yang berkaitan (tertentu?) Pada pandangan saya, nilai hadiah yang disediakan amatlah kecil dan tidak wajar dikekalkan lagi jika sayembara yang serupa ingin diteruskan (diulangi) pada masa yang akan datang. Hal ini demikian kerana Allahyarhan Tun Abdul Razak merupakan seorang tokoh yang hebat dan dikenali serta dihormati oleh semua pihak. Saya bimbang sekiranya nilai hadiah yang disediakan dalam sayembara puisi yang berusaha mengangkat jasa dan ketokohan beliau ini relatif kecil (rendah), keadaan ini boleh menyebabkan masyarakat terfikir bahawa ketokohan dan kehebatan beliau itu turut menjadi rendah. Pandangan (andaian) ini tidak boleh dinafikan kerana beliau seorang tokoh besar. Maka tidak sepadanlah jika apa-apa pertandingan yang ingin dikaitkan dengan beliau diletakkan nilai yang rendah.
Saya sama sekali tidak berniat untuk meminta agar nilai hadiah dinaikkan sehingga puluhan ribu ringgit kerana persepsi banyak pihak di negara kita terhadap sastera masih rendah dan mendukacitakan. Namun, saya tetap mengalu-alukannya jika hal itulah yang menjadi realiti. Walau bagaimanapun, nilai hadiah sekadar ratusan ringgit khususnya bagi kategori dewasa adalah tidak wajar sama sekali. Nilai hadiah tersebut birapun untuk pemenang sagu hati, wajar ditingkatkan ke nilai empat angka. Nilai empat angka itu pun hendaklah menasabah dan setara dengan negarawan yang ingin kita kenang.
Mungkin pihak penganjur dan banyak pihak lagi ingin menyatakan bahawa mereka (penganjur)kekurangan dana. Namun bagi saya, jika pihak penganjur berusaha mencari penyumbang daripada pihak-pihak tertentu, saya yakin akan ada pihak yang sedia menghulurkan sumbangan. Saya yakin, akan ada pihak yang dengan rela hati ingin turut memberikan sumbangan bukan sahaja dengan niat ikhlas untuk meraikan pemenang sayembara yang mengenang, mengangkat jasa dan ketokohan mantan Perdana Menteri yang hebat kita itu tetapi juga sebagai suatu usaha untuk memastikan "nilai", kewibawaan dan ketokohan serta jasa beliau (Allahyarham Tun Abdul Razak) dapat dimaksimumkan lagi. Tidak mustahil, ada tokoh-tokoh atau organisasi korporat, dan lain-lain di negara kita ini yang menyimpan hasrat murni yang sedemikian. Bahkan saya percaya, Perdana Menteri kita kini (YAB Dato' Seri Mohd Najib) yang merupakan "warisan emas" Allahyarham itu sendiri pasti sudi untuk memberikan sumbangan beliau bagi tujuan murni ini.
Sesungguhnya saya yakin, nilai hadiah bagi Sayembara Puisi Tun Abdul Razak ini dengan sendirinya akan dapat meningkatkan dan menyerlahkan kehebatan dan ketokohan Allahyarham Tun Abdul Razak sekiranya nilai hadiahnya turut ditingkatkan. Moga pandangan ikhlas saya ini mendapat perhatian banyak pihak demi mengangkat kehebatan bidang kesusasteraan dan negarawan kita.

Jumaat, 30 Oktober 2009

KOMSAS DI SEKOLAH RENDAH - BILA LAGI?

Komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah menengah telah lama berjalan. Sama ada pelakasanaannya berjaya atau sebaliknya dalam memupuk minat sastera ke dalam diri pelajar-pelajar di Malaysia merupakan suatu isu yang boleh diperdebatkan lagi. Walau bagaimanapun, kita seharusnya berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia kerana sedia melaksanakannya yang kini masuk pusingan kedua.
Namun begitu, suatu persoalan yang ingin saya lontarkan di sini ialah kewajaran komsas ini di "diturunkan" ke peringkat sekolah rendah pula. Dengan berbuat demikian, saya amat yakin bahawa usaha menyemai benih kesusasteraan ke dalam jiwa generasi muda khususnya kanak-kanak akan terlaksana dengan lebih pantas.
Sehubungan dengan hal ini, saya ingin menarik perhatian terhadap dua perkara. Pertama, pada pengamatan saya, di peringkat sekolah rendah, kanak-kanak amat mudah dan cepat terangsang untuk menikmati bahan-bahan berbentuk cerita. Lihatlah di sekeliling kita, buku cerita kanak-kanak begitu laris jualannya berbanding buku cerita bagi bacaan golongan remaja dan dewasa. Hal ini kerana dalam proses pertumbuhannya, kanak-kanak senantiasa dibayangi oleh perasaan ingin tahu. Dan karya-karya sastera khususnya yang mampu di fahami dan dihayati oleh mereka pada tahap ini seolah-olah dapat memenuhi keperluan naluri ingin tahu itu. Kedua, di sekeliling kita terdapat begitu banyak bahan bacaan yang dihasilkan oleh pengarang sastera kanak-kanak. Bahkan DBP sendiri mengambil inisiatif menubuhkan Purnama bagi memenuhi keperluan dan selera kanak-kanak di sekolah rendah.
Sebagai kesimpulannya, sudah tiba masanya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia memikirkan kewajaran menerapkan KOMSAS di peringkat sekolah rendah. Kita selalu menaruh keyakinan bahawa sastera mampu memupuk nilai murni dalam kalangan insan. Nah, dalam hal ini tentu juga tepat sekali untuk kita menegaskan bahawa hasil-hasil kesusasteraan yang mampu dihayati oleh kanak-kanak juga dapat menerapkan nilai-nilai murni ke dalam diri mereka. Moga-moga dengan penerapan nilai -nilai murni menerusi karya sastera kanak-kanak itu para pengarang dapat "beribadah" dengan membantu membentuk generasi masa hadapan yang baik sahsiahnya.

Ahad, 18 Oktober 2009

PENULIS SEPENUH MASA ATAU PENULIS SAMPINGAN?

Menjadi penulis sepenuh masa atau penulis sampingan? Saya yakin, pertanyaan ini pasti seringkali menerjah fikiran setiap insan yang bergelar penulis? Barangkali juga para penulis yang terlibat ada yang mengalami "gangguan fikiran" disebabkan dilema yang ditanggung ini. Maaf, saya tidak mengatakan "gangguan fikiran" dalam konteks yang negatif. saya maksudkannya dalam konteks yang positif. Lagipun, kegilaan untuk menjadi seorang penulis / pengarang dengan hasrat melahirkan sesuatu yang bernilai untuk mengangkat tamadun bangsa ini bukankah positif sifatnya?
Ah, betapa seronoknya menjadi penulis sepenuh masa, bukan? Kita dapat memanfaatkan setiap detik yang mendatangi kehidupan ini dengan berkarya. Kita boleh meluahkan segala nilai mulia yang terkandung di dalam fikiran dan hati kita untuk diketengahkan kepada masyarakat. Kita boleh menulis karya-karya kreatif berupa puisi, cerpen, novel dan skrip drama. Kita boleh menulis karya-karya nonkreatif seperti rencana pendek mahupun esei. Namun begitu, dalam masa yang sama, kita selalu berfikir-fikir adakah hasil yang kita peroleh daripada aktiviti penulisan sepenuh masa itu mampu menyara kehidupan diri dan keluarga? Secara mudahnya begini, kita melepaskan pekerjaan (kerjaya) hakiki kita selama ini yang memberikan pulangan pendapatan secara tetap setiap bulan semata-mata ingin menjadi seorang penulis / pengarang sepenuh masa itu. Dalam erti kata lain, selamat tinggal dunia kerjaya, dan selamat datang dunia penulisan sepenuh masa. Bagi seorang guru misalnya, yang diucapkan ialah: "Selamat tinggal dunia pendidikan, dan selamat datang dunia penulisan sepenuh masa!"
Bukan tidak ada penulis / pengarang di negara ini yang berbuat demikian. Pada pengamatan saya, banyak juga bilangannya yang berbuat demikian. Khabarnya, berdasarkan bacaan saya dalam majalah Dewan Sastera keluaran bulan September 2009, pengarang prolifik Nisah Haron telah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia kepeguaman kerana ingin menumpukan sepenuh masa dalam bidang penulisan.
Saya menganggap pengarang-pengarang yang meninggalkan kerjaya mereka semata-mata untuk bergiat sepenuh masa dalam bidang penulisan merupakan insan yang berani menyahut cabaran, kental semangat dan gigih pula. Mereka sanggup beralih sumber rezeki semata-mata disebabkan mereka berani bertarung dalam bidang yang orang lain barangkali meraguinya. Mereka seharusnya diberikan pujian kerana berusaha mengerah seluruh tenaga dan daya fikir mereka bagi mengangkat bidang penulisan.
Walaupun isu ini bukanlah baharu untuk diperdebatkan, namun saya berpendapat isu ini amat menarik untuk terus dibincangan oleh kita. Sekurang-kurangnya dengan perbincangan yang penuh pemikiran yang tinggi dan terbuka dapat dijadikan panduan oleh penulis / pengarang lain yang mungkin berhasrat untuk berbuat demikian supaya berfikir semasak-masaknya dan membuat timbang tara, seterusnya mengambil keputuasan yang tepat dan betul.

Rabu, 29 April 2009

MERANDUK RANJAU - KARYA TERBAHARU SAYA UNTUK ANDA!


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua.

Apa khabar? Semoga kalian dalam keadaan sihat sejahtera. Salam perkenalan kepada sesiapa sahaja yang menjadi pengunjung blog ini yang baru mengenali diri saya. Salam persahabatan yang berterusan kepada sesiapa yang telah pun mengenali diri saya. Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian kalian meluangkan masa menatap tulisan saya ini. Kepada pelajar-pelajar saya yang membaca tulisan ini, saya ingin mengatakan kepada kalian bahawa sebagai seorang pendidik, saya ingin terus berbakti kepada kalian.

Oh ya, saya ingin memperkenalkan hasil penulisan kreatif saya yang terbaharu kepada kalian. Alhamdulillah, sebuah novel saya yang berjudul "Meranduk Ranjau" telah siap dicetak dan kini berada di pasaran. Novel setebal 450 muka surat ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan kepada Puan Azura Mohd Halid, editor penerbitan DBP Wilayah Selatan yang menjadi teraju utama menerbitkan karya saya ini.

Saya ingin menyentuh sedikit sebanyak tentang novel ini kerana saya percaya kalian tentu ingin mengetahui secara sepintas lalu (jika pun tidak secara menyeluruh) bagaimana saya dapat mengahasilkan novel ini. Kisahnya bermula begini. Saya amat meminati sejarah kerana sejarah berjaya memberikan kesedaran kepada saya bagaimana hendak mentafsir masa lalu, mengharungi masa kini dan mengurus masa hadapan. Oleh itu, saya amat tidak setuju apabila ada orang berkata bahawa sejarah ialah kisah orang-orang yang telah mati. Amat dangkal persepsi ini.

Namun, dari satu sudut, saya akui bahawa sejarah kerapkali membosankan. Sejarah seringkali dipersembahkan dalam bentuk luahan dan lambakan fakta yang begitu berat dan tidak menarik (?). Sehubungan dengan itu, saya amat setuju dengan pandangan bahawa sejarah harus dipersembahkan dengan teknik atau gaya lain khususnya dalam bentuk penceritaan kreatif. Setiap watak sejarah wajar diberikan "nyawa untuk kali kedua" supaya watak-watak itu boleh "hidup kembali" dan menggerakkan semula peristiwa-peristiwa sejarah yang telah diharunginya. Biar watak-watak itu memberitahu kita kenapa mereka bertindak mencetuskan aneka peristiwa (pemerintahan, perjuangan, pembelotan, peperangan, penentangan, perkahwinan, pelepasan dendam, pembunuhan, penaklukan, dan lain-lain) sebagaimana yang telah terjadi dan kita hayati atas nama sejarah. Atas kesedaran dan keyakinan itu, saya telah mengarang novel "Meranduk Ranjau" ini.

Namun begitu, saya akui hakikat bahawa novel ini bukanlah sebuah novel sejarah. Hal ini demikian kerana saya terlalu jauh masuk ke ruang imaginasi dengan mencipta watak-watak yang tidak pernah wujud dalam sejarah. Namun, latar tempat cerita ini iaitu Batu Sawar di tebing Sungai Johor di Kota Tinggi merupakan tempat yang telah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Melayu Johor pada era kegemilangannya beberapa abad yang lalu. Pada masa itu, peperangan antara kerajaan Melayu dengan penjajah Portugis memang seringkali terjadi. Bahkan Aceh turut mencelah dan memberikan ancaman. Durjananya penjajah ini ialah mereka sanggup menyusur dan menyusup jauh ke hulu-hulu sungai semata-mata untuk menghapuskan kerajaan Melayu. Kesultanan Melayu diperlekeh dan dihambat ke sana sini bagaikan anjing kurap. Di sinilah, saya meluaskan imaginasi saya dengan mencipta watak-watak srikandi (protagonis) seperti Dang Bunga dan Galuh Ajeng yang telah menghabiskan usia mereka untuk mempertahankan tanah air tercinta. Dalam masa yang sama, saya mencipta watak-watak antagonis seperti Dang Seri dan Sang Adi Juara yang rela menjadi pembelot dalam diam, dan menjadi anjing penjilat kepada penjajah demi kepentingan peribadi. Bertitik-tolak dari sini, saya membentuk konflik dan cuba membesar-besarkan konflik tersebut dengan mengambil kira juga pertimbangan agar konflik tersebut tidak sampai menidakkan kewajaran cerita. Saya juga dengan sengaja dan penuh kesedaran berusaha mengangkat watak-watak wanita (gadis) sebagai watak-watak penting dan utama dengan meminggirkan dengan ketara watak-watak lelaki kerana pemberian "semangat wira" sudah terlalu banyak rasnya sebelum ini berbanding "semangat wira wati / srikandi".

Untuk menghasilkan novel ini, saya melakukan penyelidikan dengan mengkaji sedikit sebanyak bahasa asing seperti bahasa Portugis, bahasa Banjar, bahasa Jawa dan bahasa Bugis. Saya berbuat demikian kerana ingin membumbui cerita ini dengan ungkapan watak yang mewakili berbilanag kaum / bangsa yang pada hakikat sejarahnya mereka saling berinteraksi serta berkonflik. Beberapa ungkapan asing dalam bentuk dialog saya sisipkan dalam novel ini.

Novel saya sebelum ini yang berjudul "Badai Hujung Tanah" telah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah novel sejarah kerana darjah ketepatannya yang memenuhi ciri-ciri sebuah novel sejarah. Namun, novel "Meranduk Ranjau" ini, meskipun tidak menepati konsep novel sejarah, saya berkeyakinan novel ini boleh dianggap novel berunsurkan sejarah. Jika pun tidak boleh dianggap sedemikian, tentu novel boleh dikatakan sebagai sebuah novel yang mempunyai kesedaran sejarah. Ah, bagi saya semua itu tidaklah penting. Yang penting bagi saya ialah kita kembali kepada asas penciptaan sebuah karya kreatif bernama novel. Apakah yang lebih mengasyikkan bagi seseorang pembaca novel jikalau bukan sebuah persembahan cerita yang digerakkan oleh watak-watak yang beraneka, dalam medan konflik yang rencam serta berlatarbelakangkan alam yang menjadi saksi bahawa manusia ialah penghuni alam ini yang dinamik sifatnya!

Sudi-sudikanlah memiliki novel saya ini - "Meranduk Ranjau" - dan selamat membaca! Saya menghormati dan menghargai kalian.

Jumaat, 27 Mac 2009

PANTUN ENAM KERAT : CERITERA PERIBAHASA

Kudup bunga gugur di halaman,
Lebah kelulut di pucuk jarang,
Di barat merbau senduduk condong,
Hidup di dunia atur pedoman,
Usah mengikut telunjuk orang,
Ibarat kerbau dicucuk hidung.

Ribut mendesah dari seberang,
Basah halaman ditimpa hujan,
Kilat tertampan di lereng bukit,
Sewaktu susah ditolong orang,
Setelah senang tegar melawan,
Ibarat melepaskan anjing tersepit.

Pegaga dijeruk dibuat kenduri,
Ulam raja beralas pinggan,
Nasi dimasak di bawah pohon,
Hanya terperuk di tempat sendiri,
Macam mana nak luas pengalaman,
Seperti katak di bawah tempurung.

Salai pisang dibelah jua,
Arang seludang ditimpa belebas,
Di bawah pangkin api menyala,
Bagai pinang dibelah dua,
Orang memandang mata tak lepas,
Benarkah pengantin sehati sehala?

Hidup di paya betuk bersengat,
Ikan betutu tersekat di rakit,
Seluang jauh belida pun jauh,
Hidup di dunia biar beringat,
Belum tentu menongkat langit,
Mumbang jatuh, kelapa pun jatuh.

Khamis, 5 Mac 2009

Buku Terbaharu Saya

Alhamdulillah, saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah dapat menghasilkan sebuah novel kanak-kanak baru-baru ini. Hakikatnya, inilah novel kanak-kanak saya yang pertama berjaya diterbitkan. Sebelum ini ada juga saya menulis novel kanak-kanak tetapi tidak dapat diterbitkan kerana penulisan saya terkandas di tengah jalan disebabkan oleh hal-hal tertentu. Saya juga ada menulis sebuah novel kanak-kanak bagi menyertai sayembara menulis novel kanak-kanak anjuran PURNAMA (DBP) pada awal tahun lalu tetapi novel tersebut tidak berjaya. Saya pun menulis novel kanak-kanak yang baharu dan diterbitkan oleh Yayasan Citra Holding. Inilah novel saya yang berjudul "Misteri Keladi Bunting". Judul asal yang saya berikan ialah "Misteri Hutan." Namun, editor YCH iaitu Haji Shapiai Muhammad Ramly mencadangkan judul yang ada sekarang. Saya berusaha menerapkan disiplin ilmu Geografi dan Sains Biologi dalam novel ini selain berusaha menerapkan nilai-nilai murni. Selain itu, saya berusaha memuatkan teknik suspen di beberapa bahagian novel ini supaya pembaca tidak berasa bosan. Suatu hal yang amat menggembirakan saya ialah novel saya ini berjaya mencipta sejarah sebagai novel malahan buku yang pertama "dilahirkan" oleh Yayasan Citra Holding. Saya berharap, ada kalangan audiens yang sudi mendapatkan dan membaca buah tangan saya ini dan sudi pula memberikan buah fikiran / pandangan.

Sebenarnya saya menyiapkan novel "Misteri Keladi Bunting" ini sekitar bulan Julai tahun lalu (2008). Selepas itu saya menulis novel sejarah Johor pula yang berjudul "Badai Hujung Tanah" yang kemudiannya memenangi Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor II. Penulisan novel sejarah ternyata menuntut ketekunan yang luar biasa kerana penulisannya haruslah berdasarkan kajian sejarah yang benar-benar terjadi. Namun alhamdulillah, saya akhirnya membuat kesimpulan, apa-apa pun yang kita usahakan sememangnya menuntut ketekunan dan kesungguhan di samping memiliki keyakinan diri yang tinggi. Saya juga mengharapkan ada yang sudi membaca novel sejarah ini serta memberikan pandangan / buah pandangan.

Rabu, 28 Januari 2009

Mukadimmah

Tahniah kepada diri saya sendiri kerana telah berjaya mencipta blog! Moga-moga ada yang ingin bertukar-tukar buah fikiran dengan saya.