Khamis, 6 Mei 2010

NILAI HADIAH SAYEMBARA PUISI TUN ABDUL RAZAK PATUT DITINGKATKAN

Assalamualaikum wrb!

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang telah berjaya menganjurkan Sayembara Menulis Puisi Tun Abdul Razak. Keputusan sayembara ini telah pun diumumkan baru-baru ini dan telah menjadi pengetahuan orang ramai. Setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada para pemenang bagi semua kategori sayembara tersebut baik kategori dewasa, IPT mahupun kategori pelajar. Antara pemenangtersebut termasuklah penyair mapan (handalan) seperti Shamsuddin Othman, dan juga penyair-penyair muda yang cukup berbakat seperti WB Rendra dan Zulfazlan Jumrah. Kebetulan ketiga-tiga penyair ini merupakan anak jati Johor. Saya sebagai pemastautin negeri "Hujung Tanah" ini, turut berasa bangga.
Penganjuran sayembara ini amatlah dialu-alukan dan diharapkan dapat diterusikan pada masa-masa yang akan datang. Mudah-mudahan penganjuran sayembara sempena mengenang ketokohan, kebijaksanaan dan jasa mantan Perdana Menteri kita itu yang amat besar kepeda negara tercinta ini akan dapat menguak jendela renungan dan minda sekalian warganegara termasuk generasi baharu.
Walau bagaimanapun, saya ada secubit pandangan yang menagih pandangan pihak-pihak yang berkaitan (tertentu?) Pada pandangan saya, nilai hadiah yang disediakan amatlah kecil dan tidak wajar dikekalkan lagi jika sayembara yang serupa ingin diteruskan (diulangi) pada masa yang akan datang. Hal ini demikian kerana Allahyarhan Tun Abdul Razak merupakan seorang tokoh yang hebat dan dikenali serta dihormati oleh semua pihak. Saya bimbang sekiranya nilai hadiah yang disediakan dalam sayembara puisi yang berusaha mengangkat jasa dan ketokohan beliau ini relatif kecil (rendah), keadaan ini boleh menyebabkan masyarakat terfikir bahawa ketokohan dan kehebatan beliau itu turut menjadi rendah. Pandangan (andaian) ini tidak boleh dinafikan kerana beliau seorang tokoh besar. Maka tidak sepadanlah jika apa-apa pertandingan yang ingin dikaitkan dengan beliau diletakkan nilai yang rendah.
Saya sama sekali tidak berniat untuk meminta agar nilai hadiah dinaikkan sehingga puluhan ribu ringgit kerana persepsi banyak pihak di negara kita terhadap sastera masih rendah dan mendukacitakan. Namun, saya tetap mengalu-alukannya jika hal itulah yang menjadi realiti. Walau bagaimanapun, nilai hadiah sekadar ratusan ringgit khususnya bagi kategori dewasa adalah tidak wajar sama sekali. Nilai hadiah tersebut birapun untuk pemenang sagu hati, wajar ditingkatkan ke nilai empat angka. Nilai empat angka itu pun hendaklah menasabah dan setara dengan negarawan yang ingin kita kenang.
Mungkin pihak penganjur dan banyak pihak lagi ingin menyatakan bahawa mereka (penganjur)kekurangan dana. Namun bagi saya, jika pihak penganjur berusaha mencari penyumbang daripada pihak-pihak tertentu, saya yakin akan ada pihak yang sedia menghulurkan sumbangan. Saya yakin, akan ada pihak yang dengan rela hati ingin turut memberikan sumbangan bukan sahaja dengan niat ikhlas untuk meraikan pemenang sayembara yang mengenang, mengangkat jasa dan ketokohan mantan Perdana Menteri yang hebat kita itu tetapi juga sebagai suatu usaha untuk memastikan "nilai", kewibawaan dan ketokohan serta jasa beliau (Allahyarham Tun Abdul Razak) dapat dimaksimumkan lagi. Tidak mustahil, ada tokoh-tokoh atau organisasi korporat, dan lain-lain di negara kita ini yang menyimpan hasrat murni yang sedemikian. Bahkan saya percaya, Perdana Menteri kita kini (YAB Dato' Seri Mohd Najib) yang merupakan "warisan emas" Allahyarham itu sendiri pasti sudi untuk memberikan sumbangan beliau bagi tujuan murni ini.
Sesungguhnya saya yakin, nilai hadiah bagi Sayembara Puisi Tun Abdul Razak ini dengan sendirinya akan dapat meningkatkan dan menyerlahkan kehebatan dan ketokohan Allahyarham Tun Abdul Razak sekiranya nilai hadiahnya turut ditingkatkan. Moga pandangan ikhlas saya ini mendapat perhatian banyak pihak demi mengangkat kehebatan bidang kesusasteraan dan negarawan kita.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum cikgu. Saya doakan cikgu sihat dan dimurahkan rezeki. Saya Maslina Ngadiman, bekas pelajar cikgu di Sekolah Menengah Tun Habab.

    Saya sekarang bertugas sebagai editor di sebuat syarikat penerbitan buku. Saya mahu mengundang cikgu ke satu kelas ilmu yang diadakan di tempat saya.

    Di bawah ini adalah butirannya;

    Kelas Kongsi-kongsi: Strategi Sarang Penulis (INDONESIA)

    Ada satu fenomena yang berlaku di Indonesia, setiap kali selepas beberapa hari timbul satu-satu isu, pasti muncul beberapa buah buku yang diterbitkan bagi membincangkan isu tersebut.

    Contohnya,pasaran di Indonesia bisa ditebak oleh penerbit (entah bagaimana), bahawa awal Mac 2009, kesedaran terhadap dosa-dosa dan alam kematian bakal mendapat perhatian. Oleh itu, sebelum April 2009, tiga buah buku berkaitannya mulai masuk dalam pasaran.

    Ada lain kes, diterbitkan pula oleh penerbit berlainan. Bagai dipakat-pakat pula. Contoh judul (sekadar 'bunyi' lebih kurang begini), Azab dan Nikmat di Alam Kubur, 70 Dosa-dosa Besar, Senyum Sang Penjawab Salam Izrail, Kubur Gelap Kubur Terang, dan banyak lagi.

    Begitulah industri buku di Indonesia, tidak pernah duduk diam. Penulis dan penerbit amat memberi kesan mencengkam terhadap trend yang sedang berlangsung. Atau lebih hebat lagi, penerbit dan penulis jua yang berkuasa mengawal trend itu.

    Persoalannya, bagaimana penulis membuat kajian dan menulis secara pantas tangkas? Lebih mengejutkan, buku-buku itu menjadi laris di pasaran dan hangat dibincangkan pula di kedai-kedai kopi.

    Sepanjang berkawan-kawan dengan rakan penerbit di Indonesia awal tahun lalu, saya akhirnya mendapat jawapan kepada rahsia itu. Kuncinya, jika boleh dinamakan sebagai Strategi Sarang Penulis, iaitu sekumpulan penulis berkelompok yang bersiap siaga dengan akses pustaka dan kemahiran mencari dan menulis semula (adaptasi) maklumat. Setelah mereka menerima signal daripada penerbit akan kehadiran trend baru, maka bertebaranlah mereka menyiapkan sesebuah judul yang direncanakan.


    • Bagaimana langkah demi langkah membaca trend?
    • Bagaimana mencipta judul semasa membaca trend?
    • Bagaimana mengurus penulisan dalam pasukan Sarang Penulis?
    • Paling penting, KENAPA mesti menulis beramai-ramai?


    KKK Oktober: Strategi Sarang Penulis (INDONESIA)


    • 10 Oktober 2010 (Ahad).
    • 9 pagi - 12 tengah hari.
    • Tempat duduk: 20 orang SAHAJA.
    • Yuran: Percuma.
    • Lokasi: Kelas Kongsi-kongsi, Mazni Irfan Publication, Larkin JB (di belakang Mutiara Motors, sebelah Mahkamah Majistret).

    Mohon smskan nama, e-mel dan no telefon untuk pendaftaran kepada:
    Tuan Mazni Al-Irfan Jani
    0102265356
    atau
    Maslina Ngadiman
    0127290119

    p/s: Seterusnya, KKK November: Dinding Kebodohan dalam Penulisan (JEPUN).

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam