Jumaat, 27 Mac 2009

PANTUN ENAM KERAT : CERITERA PERIBAHASA

Kudup bunga gugur di halaman,
Lebah kelulut di pucuk jarang,
Di barat merbau senduduk condong,
Hidup di dunia atur pedoman,
Usah mengikut telunjuk orang,
Ibarat kerbau dicucuk hidung.

Ribut mendesah dari seberang,
Basah halaman ditimpa hujan,
Kilat tertampan di lereng bukit,
Sewaktu susah ditolong orang,
Setelah senang tegar melawan,
Ibarat melepaskan anjing tersepit.

Pegaga dijeruk dibuat kenduri,
Ulam raja beralas pinggan,
Nasi dimasak di bawah pohon,
Hanya terperuk di tempat sendiri,
Macam mana nak luas pengalaman,
Seperti katak di bawah tempurung.

Salai pisang dibelah jua,
Arang seludang ditimpa belebas,
Di bawah pangkin api menyala,
Bagai pinang dibelah dua,
Orang memandang mata tak lepas,
Benarkah pengantin sehati sehala?

Hidup di paya betuk bersengat,
Ikan betutu tersekat di rakit,
Seluang jauh belida pun jauh,
Hidup di dunia biar beringat,
Belum tentu menongkat langit,
Mumbang jatuh, kelapa pun jatuh.

Khamis, 5 Mac 2009

Buku Terbaharu Saya

Alhamdulillah, saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah dapat menghasilkan sebuah novel kanak-kanak baru-baru ini. Hakikatnya, inilah novel kanak-kanak saya yang pertama berjaya diterbitkan. Sebelum ini ada juga saya menulis novel kanak-kanak tetapi tidak dapat diterbitkan kerana penulisan saya terkandas di tengah jalan disebabkan oleh hal-hal tertentu. Saya juga ada menulis sebuah novel kanak-kanak bagi menyertai sayembara menulis novel kanak-kanak anjuran PURNAMA (DBP) pada awal tahun lalu tetapi novel tersebut tidak berjaya. Saya pun menulis novel kanak-kanak yang baharu dan diterbitkan oleh Yayasan Citra Holding. Inilah novel saya yang berjudul "Misteri Keladi Bunting". Judul asal yang saya berikan ialah "Misteri Hutan." Namun, editor YCH iaitu Haji Shapiai Muhammad Ramly mencadangkan judul yang ada sekarang. Saya berusaha menerapkan disiplin ilmu Geografi dan Sains Biologi dalam novel ini selain berusaha menerapkan nilai-nilai murni. Selain itu, saya berusaha memuatkan teknik suspen di beberapa bahagian novel ini supaya pembaca tidak berasa bosan. Suatu hal yang amat menggembirakan saya ialah novel saya ini berjaya mencipta sejarah sebagai novel malahan buku yang pertama "dilahirkan" oleh Yayasan Citra Holding. Saya berharap, ada kalangan audiens yang sudi mendapatkan dan membaca buah tangan saya ini dan sudi pula memberikan buah fikiran / pandangan.

Sebenarnya saya menyiapkan novel "Misteri Keladi Bunting" ini sekitar bulan Julai tahun lalu (2008). Selepas itu saya menulis novel sejarah Johor pula yang berjudul "Badai Hujung Tanah" yang kemudiannya memenangi Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor II. Penulisan novel sejarah ternyata menuntut ketekunan yang luar biasa kerana penulisannya haruslah berdasarkan kajian sejarah yang benar-benar terjadi. Namun alhamdulillah, saya akhirnya membuat kesimpulan, apa-apa pun yang kita usahakan sememangnya menuntut ketekunan dan kesungguhan di samping memiliki keyakinan diri yang tinggi. Saya juga mengharapkan ada yang sudi membaca novel sejarah ini serta memberikan pandangan / buah pandangan.