Rabu, 29 April 2009

MERANDUK RANJAU - KARYA TERBAHARU SAYA UNTUK ANDA!


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua.

Apa khabar? Semoga kalian dalam keadaan sihat sejahtera. Salam perkenalan kepada sesiapa sahaja yang menjadi pengunjung blog ini yang baru mengenali diri saya. Salam persahabatan yang berterusan kepada sesiapa yang telah pun mengenali diri saya. Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian kalian meluangkan masa menatap tulisan saya ini. Kepada pelajar-pelajar saya yang membaca tulisan ini, saya ingin mengatakan kepada kalian bahawa sebagai seorang pendidik, saya ingin terus berbakti kepada kalian.

Oh ya, saya ingin memperkenalkan hasil penulisan kreatif saya yang terbaharu kepada kalian. Alhamdulillah, sebuah novel saya yang berjudul "Meranduk Ranjau" telah siap dicetak dan kini berada di pasaran. Novel setebal 450 muka surat ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan kepada Puan Azura Mohd Halid, editor penerbitan DBP Wilayah Selatan yang menjadi teraju utama menerbitkan karya saya ini.

Saya ingin menyentuh sedikit sebanyak tentang novel ini kerana saya percaya kalian tentu ingin mengetahui secara sepintas lalu (jika pun tidak secara menyeluruh) bagaimana saya dapat mengahasilkan novel ini. Kisahnya bermula begini. Saya amat meminati sejarah kerana sejarah berjaya memberikan kesedaran kepada saya bagaimana hendak mentafsir masa lalu, mengharungi masa kini dan mengurus masa hadapan. Oleh itu, saya amat tidak setuju apabila ada orang berkata bahawa sejarah ialah kisah orang-orang yang telah mati. Amat dangkal persepsi ini.

Namun, dari satu sudut, saya akui bahawa sejarah kerapkali membosankan. Sejarah seringkali dipersembahkan dalam bentuk luahan dan lambakan fakta yang begitu berat dan tidak menarik (?). Sehubungan dengan itu, saya amat setuju dengan pandangan bahawa sejarah harus dipersembahkan dengan teknik atau gaya lain khususnya dalam bentuk penceritaan kreatif. Setiap watak sejarah wajar diberikan "nyawa untuk kali kedua" supaya watak-watak itu boleh "hidup kembali" dan menggerakkan semula peristiwa-peristiwa sejarah yang telah diharunginya. Biar watak-watak itu memberitahu kita kenapa mereka bertindak mencetuskan aneka peristiwa (pemerintahan, perjuangan, pembelotan, peperangan, penentangan, perkahwinan, pelepasan dendam, pembunuhan, penaklukan, dan lain-lain) sebagaimana yang telah terjadi dan kita hayati atas nama sejarah. Atas kesedaran dan keyakinan itu, saya telah mengarang novel "Meranduk Ranjau" ini.

Namun begitu, saya akui hakikat bahawa novel ini bukanlah sebuah novel sejarah. Hal ini demikian kerana saya terlalu jauh masuk ke ruang imaginasi dengan mencipta watak-watak yang tidak pernah wujud dalam sejarah. Namun, latar tempat cerita ini iaitu Batu Sawar di tebing Sungai Johor di Kota Tinggi merupakan tempat yang telah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Melayu Johor pada era kegemilangannya beberapa abad yang lalu. Pada masa itu, peperangan antara kerajaan Melayu dengan penjajah Portugis memang seringkali terjadi. Bahkan Aceh turut mencelah dan memberikan ancaman. Durjananya penjajah ini ialah mereka sanggup menyusur dan menyusup jauh ke hulu-hulu sungai semata-mata untuk menghapuskan kerajaan Melayu. Kesultanan Melayu diperlekeh dan dihambat ke sana sini bagaikan anjing kurap. Di sinilah, saya meluaskan imaginasi saya dengan mencipta watak-watak srikandi (protagonis) seperti Dang Bunga dan Galuh Ajeng yang telah menghabiskan usia mereka untuk mempertahankan tanah air tercinta. Dalam masa yang sama, saya mencipta watak-watak antagonis seperti Dang Seri dan Sang Adi Juara yang rela menjadi pembelot dalam diam, dan menjadi anjing penjilat kepada penjajah demi kepentingan peribadi. Bertitik-tolak dari sini, saya membentuk konflik dan cuba membesar-besarkan konflik tersebut dengan mengambil kira juga pertimbangan agar konflik tersebut tidak sampai menidakkan kewajaran cerita. Saya juga dengan sengaja dan penuh kesedaran berusaha mengangkat watak-watak wanita (gadis) sebagai watak-watak penting dan utama dengan meminggirkan dengan ketara watak-watak lelaki kerana pemberian "semangat wira" sudah terlalu banyak rasnya sebelum ini berbanding "semangat wira wati / srikandi".

Untuk menghasilkan novel ini, saya melakukan penyelidikan dengan mengkaji sedikit sebanyak bahasa asing seperti bahasa Portugis, bahasa Banjar, bahasa Jawa dan bahasa Bugis. Saya berbuat demikian kerana ingin membumbui cerita ini dengan ungkapan watak yang mewakili berbilanag kaum / bangsa yang pada hakikat sejarahnya mereka saling berinteraksi serta berkonflik. Beberapa ungkapan asing dalam bentuk dialog saya sisipkan dalam novel ini.

Novel saya sebelum ini yang berjudul "Badai Hujung Tanah" telah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah novel sejarah kerana darjah ketepatannya yang memenuhi ciri-ciri sebuah novel sejarah. Namun, novel "Meranduk Ranjau" ini, meskipun tidak menepati konsep novel sejarah, saya berkeyakinan novel ini boleh dianggap novel berunsurkan sejarah. Jika pun tidak boleh dianggap sedemikian, tentu novel boleh dikatakan sebagai sebuah novel yang mempunyai kesedaran sejarah. Ah, bagi saya semua itu tidaklah penting. Yang penting bagi saya ialah kita kembali kepada asas penciptaan sebuah karya kreatif bernama novel. Apakah yang lebih mengasyikkan bagi seseorang pembaca novel jikalau bukan sebuah persembahan cerita yang digerakkan oleh watak-watak yang beraneka, dalam medan konflik yang rencam serta berlatarbelakangkan alam yang menjadi saksi bahawa manusia ialah penghuni alam ini yang dinamik sifatnya!

Sudi-sudikanlah memiliki novel saya ini - "Meranduk Ranjau" - dan selamat membaca! Saya menghormati dan menghargai kalian.

6 ulasan:

  1. Tahniah Cikgu Kassim, semuga berjaya dan selamat berkarya

    BalasPadam
  2. Salam,
    Tahniah kepada tuan, semoga terus berkarya.

    BalasPadam
  3. sala..
    saya dari synergymate ingin mempelawa tuan untuk menulis novel islamik umum dan diterbitkan oleh syarikat synergymate. sekiranya tuan berminat bolehlah emailkan kpd saya di damya_ogy@yahoo.com.my atau tel ke 03-87235830 smbg kpd roziyah.

    BalasPadam
  4. Tahniah cikgu. Saya baru berkesempatan membaca novel ini pada tahun 2019. Saya sangat kagumi semangat kental cikgu yang mampu menulis novel dalam suasana abad ke-15.Membaca novel ini menaikkan semangat patriotik dan membuatkan saya berusaha memba sejarah lama Johor. Semoga Allah kurniakan keberkatan buat cikgu sekeluarga.

    BalasPadam